Kelantankini.com

Berita Kelantan, isu politik semasa

Ku Li tawar diri pulihkan Umno

6.50am | 20 Mac
AHLI parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, hari ini mengisytiharkan kesediaannya untuk mencabar Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi jawatan presiden Umno. Beliau akan bertanding menentang Abdullah jika pencalonannya cukup untuk melayakkannya bersaing merebut jawatan teratas Umno.

“Terpulang kepada bahagian-bahagian Umno, kalau mereka mencalonkan saya dan cukup 30 peratus maka saya sedia untuk bertanding jawatan presiden,” katanya.

Tengku Razaleigh gagal mencabar Abdullah bagi jawatan presiden pada 2004 setelah tidak berjaya mencapai peratusan tersebut.

Selain jawatan presiden, Umno juga menetapkan 20 peratus pencalonan untuk jawatan timbalan presiden, naib presiden (10 peratus) dan majlis tertinggi (5 peratus).

Bercakap di sidang media di Kota Bharu petang tadi, Tengku Razaleigh berkata ketewasan besar-besaran Umno dan BN tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.

“Siapa yang bertanggungjawab tidak boleh terus tidur,” katanya.

“Rakyat sudah beri isyarat jelas dalam pilihanraya baru-baru ini, kenapa kita masih nak buat tak tahu dengan apa yang terjadi.”

Beliau berkata keputusan plihanraya umum lalu itu tidak terjadi dalam sejarah Umno dan BN.

“Hilang lima negeri bukan benda yang remeh, kalau kalah satu kerusi pun dah kita anggap serius, ini lima negeri BN hilang … (kita) tak nak buat apa-apa,” tambahnya.

Cepat naik cepat jatuh

Seharusnya, kata beliau lagi, pemimpin Umno mengambil kira suara rakyat yang disampaikan melalui undi dan tidak mementingkan diri sendiri sahaja.

“Rakyat sudah pun memberi isyarat jelas kenapa kita masih buat-buat tak faham lagi?” katanya.

Mengulas peletakan jawatan Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad sebagai setiausaha agung Umno dan BN, Tengku Razaleigh berkata:

“Radzi meletak jawatan itu pun adalah petanda bahawa apa yang berlaku dalam Umno kini adalah satu masalah serius dan tidak boleh dipandang ringan.”

Ditanya sama ada menantu Perdana Menteri dan juga naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin, sebagai beban kepada parti itu, Tengku Razaleigh berkata:

“Pendapat saya mengenai dia sama dengan pendapat orang lain, anda semua tahu apa yang orang kata mengenai budak ini.”

Beliau menambah, dalam politik sudah menjadi adat seseorang yang cepat naik akan turut jatuh dengan cepat.

Tengku Razaleigh, bekas menteri kewangan, juga menggesa kepemimpinan negara mengambil berat kemerosotan ekonomi di Amerika Syarikat dan Eropah yang akan membawa kesan kepada Malaysia.

Katanya, apabila kadar jenayah di negara ini makin meningkat, itu menandakan ekonomi sedang lemah.

Sokong hak Mukhriz

Beliau, yang juga bekas naib presiden Umno, turut menyatakan sokongan kepada exco Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir, untuk menyuarakan desakannya agar Abdullah meletakkan jawatan.

“Mukhriz berhak menyuarakan pendapat, Umno bukan parti satu orang. Setiap ahli Umno berhak bersuara,” katanya, yang juga mesra dipanggil Ku Li.

Esok, tambahnya, bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat bagi mencadangkan Umno memanggil mesyuarat agung luar biasa untuk membincangkan isu kekalahan teruk Umno.

Minggu lalu beliau menulis surat kepada semua bahagian dan cawangan parti itu agar menyokong cadangannya.

Mengulas tentang Dasar Ekonomi Baru (DEB), Ku Li berkata sebahagian kritikan pemimpin pembangkang tentang dasar itu ada kebenarannya.

DEB, tambahnya, telah lari daripada semangat asal sewaktu ia digubal pada 1970, selepas tragedi rusuhan 13 Mei, bagi membasmikan kemiskinan dan menyusun semula masyarakat.

Seperti dakwaan pembangkang, beliau bersetuju bahawa wujud amalan kronisme dalam pelaksanaan DEB apabila sesetengah pemimpin atau individu yang rapat dengan mereka menunjukkan kekayaan berlebihan.

Sebagai seorang yang terlibat di peringkat awal merumuskan dasar itu, kata Ku Li lagi, beliau menyokong dasar itu diteruskan.

Beliau juga bersetuju dengan gesaan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu Umno dibersihkan selepas parti itu tewas pada pilihanraya umum 8 Mac.

Sebelum itu, bekas pengasas Parti Melayu Semangat 46 itu disambut meriah oleh kira-kira 100 penyokong di lapangan terbang Pengkalan Chepa, kira-kira setengah jam dari kediamannya di Palm Manor.

Sejumlah wartawan juga menanti tetapi mereka kemudiannya dimaklumkan sidang akhbar tidak diadakan di situ.

Sokongan itu dikaitkan dengan usaha Ku Li membuka langkah dalam gerakan mencabar Abdullah. – Malaysiakini

March 20, 2008 - Posted by | Nasional

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: