Kelantankini.com

Berita Kelantan, isu politik semasa

Kabinet 2008: pengaruh Khairy masih kuat

Oleh Cucu Mat Kilau

khairy.jpg10.10am | 21 Mac
BELUM pernah terjadi dalam sejarah, nasib sebegini buruk menimpa parti pemerintah di Malaysia. Sejak zaman Perikatan lagi, hinggalah Barisan Nasional kerajaan dilihat cukup berkuasa dan bertenaga untuk menghisap ‘darah’ rakyat dengan rakusnya.

Setelah lebih 50 tahun berkuasa, akhirnya BN yang diakui kekuatannya tumbang jua. Biarpun Pak Lah selaku perdana menteri yang kehilangan kuasa masih merasakan dirinya popular di kalangan rakyat, lantaran itu tidak mahu dan terfikir untuk melepaskan jawatannya itu. Namun umum bahkan seantero dunia tahu bahawa kerajaan BN yang memerintah sekarang sudah tiada majoriti 2/3 di parlimen.

Malahan ada sesetengah pihak berpendapat bahawa, mana-mana kerajaan yang tidak mendapat mandat 2/3 menerajui negara pasti akan berhadapan dengan berbagai masalah. Namun kenyataan ini disangkal oleh Pak Lah. Beliau seboleh-bolehnya tidak mahu menerima hakikat yang keupayaan dirinya sudah tidak bernilai lagi. Malahan, beliau kini umpama ‘mayat Hidup’. Mungkin kerana kuasa yang diterima untuk meneruskan pemerintahannya itu diberikan oleh ‘hantu-hantu’ yang telah mengundi BN dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Dari satu sudut Pak Lah selayaknya dipecat dan diberi ‘undi tidak percaya’ oleh parti mereka sendiri. Namun dek kerana masih lagi dibelenggu dengan kuasa politik, rata-rata pemimpin Umno karat itu tidak mahu bersuara. Mungkin mereka takut diapa-apakan dan kehilangan sesuatu agaknya. Atau, mungkin juga mereka masih berharap agar Umno masih boleh diselamatkan oleh Pak Lah.

Maka dalam kehangatan itu timbullah beberapa kerat panglima Umno yang boleh dianggap ‘hero Melayu’ yang berani bersuara seperti Mukhriz dan Ku Li.

Selaku anak mantan perdana menteri, kenyataan bertulis Mukhriz yang mahukan Pak Lah meletakkan jawatannya amatlah memeranjatkan semua pihak. Tambahan pula sebelum ini, pemimpin muda Umno itu juga telah menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Pak Lah. Mengapa beliau begitu berani? Apakah semangat Mahathir sudah tersemat dalam jiwa anak muda ini.

Telahan ini, mungkin ada kebenarannya, kerana biarpun Mukhriz dikatakan bakal diambil tindakan oleh pucuk pimpinan tertinggi Umno. Namun hakikatnya, beliau masih selamat dan terus dipertahankan. Tindakan tersebut seolah-olah tidak mendapat restu daripada Pak Lah sendiri. Mengapa ini terjadi? Apakah yang tersirat di sebalik semua ini?

Terbaru, veteran Umno yang pernah mencabar Mahathir sebagai presiden Umno tahun 1987 lalu iaitu Ku Li dikatakan begitu berani menawarkan diri untuk bertanding sebagai presiden parti karat itu. Kononnya, beliau terpanggil dan bertanggungjawab untuk memulihkan kembali kepercayaan rakyat terhadap Umno.

Soalnya, apakah Ku Li mampu menjadi penyelamat Umno. Apakah beliau bisa mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian Umno yang lain untuk mencapai hasrat itu. Ku Li dilihat sebagai salah seorang ahli parlimen yang paling hebat di Malaysia. Ini kerana beliau tidak pernah kalah bertanding dalam pilihan raya umum di Malaysia walau apa jua parti yang diwakilinya. Ini bersandarkan kepada kemenangannya di Gua Musang atas tiket parti Semangat 46 suatu ketika dulu. Jika benar Ku Li ingin meneruskan hasratnya itu maka sudah pasti Pak Lah akan berhadapan dengan laluan yang lebih sukar dalam pemilihan agung Umno nanti.

Apa tidaknya, selain berhadapan dengan ‘Team Wawasan Najib’ beliau juga harus berhadapan pula dengan ‘Team Ku Li’. Ini bermakna, sejarah baru akan tercipta sejak 50 tahun parti karat itu ditubuhkan iaitu perebutan tiga penjuru untuk jawatan presiden. Apakah Pak Lah harus berdiam diri dan membiarkan perkara ini berlaku. Najib, awal-awal lagi sudah dihadiahkan kembali jawatan TPM dan Menteri Pertahanan biarpun umum mengetahui terdapat unsur kerterlibatan beliau dalam kes Altantunya, ‘kapal selam’ dan ‘pesawat Sukhoi’.

Bahkan perkara ini sudah berkali-kali diperjelaskan oleh Anwar Ibrahim dalam setiap kali ceramah umumnya. Namun, entah mengapa ketika ditanya oleh wartawan ketika pengumuman kabinetnya baru-baru ini tentang pelantikan Najib yang dikaitkan dengan rasuah dan tidak bersih. Mudah sahaja Pak Lah mempertahankan Najib dengan alasan tiada bukti dan Najib tidak dihadapkan ke mahkamah.

Beliau seboleh-bolehnya ingin mempertahankan Najib, sedangkan beliau tahu antara punca kekalahan BN juga ada kaitan dengan Najib. Gambaran ukuran majoriti besar Najib di Pekan yang diterimanya baru-baru ini tidak boleh dijadikan ukuran penerimaan rakyat terhadap kewibawaannya. Ini kerana, kemenangan Najib banyak dibantu dengan Undi Pos dan juga pengundi hantu.

Soalnya, kenapa Pak Lah beriya-iya benar mempertahankan Najib? Sudah pasti beliau tidak mahu Najib menentangnya dalam pemilihan agung parti karat itu nanti. Tapi, bagaimana dengan Ku Li? Namanya pernah disebut akan kembali berada dalam kabinet, lain yang disangka lain pula yang diangkat. Pelantikan semula Shahrir Samad dalam kabinet jelas sekali ‘menghina’ Ku Li. Apa tidaknya, orang-orang beliau dalam Semangat 46 diberi kepercayaan oleh Pak Lah untuk menyertai kabinet barunya itu.

Selain Shahrir, Pak Lah juga terus mengekalkan Rais Yatim dalam kabinet. Rais adalah merupakan orang kanan Ku Li ketika dalam Semangat 46 dulu. Bukankah, pelantikan dua veteran Umno ini sedikit menimbulkan rasa tidak puas hati Ku Li. Lantaran itulah, bagi menatijahkan kekecewaannya itu Ku Li rela menyatakan secara terbuka hasratnya untuk menentang Pak Lah dalam pemilihan agung parti karat itu nanti. Apa pun kita nantikan sahaja apakah yang akan berlaku selepas ini.

Apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah mana hilangnya Khairy Jamaluddin menantu kesayangan Pak Lah itu? Dalam pada semua pihak baik di kalangan parti pembangkang dan Umno sendiri yang menyalahkan Khairy perihal kejatuhan prestasi BN dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Kelibat anak muda dari Rembau itu nampak semakin sukar dilihat. Beliau yang sebelum ini diuar-uarkan bakal menjadi PM termuda, telah dinyahkan dari senarai kabinet Pak Lah. Apakah benar Khairy telah dipinggirkan. Pak Lah yang sering menggelak pabila diajukan persoalan kononnya Khairy penyebab kekecewaan BN itu, dilihat seolah-olah menyembunyikan menenatunya itu. Khairy yang dilihat sering ‘berkokok’ menjelang pilihan raya kini dilihat terus menyepikan diri.

Ramai yang gembira, bahkan tidak kurang pula yang memperli “padan muka Khairy” bila melihat namanya tidak disenaraikan dalam kabinet baru Pak Lah. Namun harus diingat, benarlah telahan sesetengah pihak bahawa Khairy masih mempunyai ‘taring’h yang bakal membaham Pak Lah bila-bila masa sahaja. Lantaran itu, biar apapun terjadi Pak Lah kabarnya masih mengikut telunjuk Khairy. Biarpun kabinet Pak Lah tidak menamakan Khairy, namun harus diingat Khairy awal-awal lagi telah mengarahkan Pak Lah mengekalkan atau memasukkan nama kroni-kroninya.

Harus diingat antara nama-nama yang dikatakan begitu sinonim dengan Khairy ialah Menteri Penerangan, Ahmad Shabery Cheek; Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Shaziman Abu Mansor dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Wan Ahmad Farid Wan Salleh. Bukti yang paling jelas menunjukkan Khairy masih berpengaruh dalam menentukan hala tuju politik Pak Lah ialah dengan pelantikan Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera (Ayah Dafi AF5 yang dikatakan mempunyai skandal dengan bini orang) sebagai Menteri Belia Dan Sukan menggantikan Azalina.

Ismail Sabri dikatakan kroni terapat dengan Khairy. Nama beliau sebelum ini dikatakan tidak terdapat dalam calon BN untuk pilihan raya umum baru-baru ini. Namun dimasukkan di saat akhir untuk mengekalkan kerusi parlimen Bera, setelah ayah Dafi AF5 itu mengadu dan menghadap si Khairy menantu Pak Lah itu. Ini jelas menunjukkan yang Khairy masih terlibat dalam politik Malaysia.

Susulan daripada info ini, maka kita merasa khuatir dan gusar akan nasib dan masa depan Malaysia. Khairy yang khabarnya menjadi penyebab kejatuhan Umno yang disangka sudah ‘menghilang’ itu rupanya masih menghitung hari untuk terus berkuasa. Jika ini benar berlaku maka sungguh malang lagi nasib dan masa depan politik Pak Lah. Sepatutnya beliau meletak jawatan, namun kerana ‘khadam Khairy’ masih berada dalam jasadnya maka Pak Lah terus mendabik dada kononnya beliau tidak bersalah atas kekalahan terus BN dalam pilihan raya umum baru-baru ini.

Apa pun kita masih menantikan edisi siasat seterusnya tentang perkara ini. Apa yang pasti, jika benar Khairy terus mencampuri urusan politik Pak Lah, maka selayaknya Umno yang sudah terlalu karat itu wajar dikapankan. Jika tidak, sudah pasti lebih banyak harta khazanah negara akan dipunggah oleh anak dan menantu Pak Lah. Maka, lama kelamaan negara kita akan terus ‘muflis’ dibuatnya. Siapa lagi yang harus kita harapkan untuk membela nasib generasi kita akan datang.

Justeru itu, marilah kita bersama-sama melakukan perubahan sekarang. Pastikan mereka ini terus karam dipukul gelombang demi gelombang. Isu peletakan jawatan terus menjadi-jadi, jelas menunjukkan bahawa para pemimpin Umno dan BN sendiri sudah tidak yakin lagi dengan parti dan pakatan karat itu. Apa yang pasti, Barisan Rakyat terus diterima sebagai pakatan alternatif yang bakal menjadi “Harapan Baru Untuk Malaysia”.

March 21, 2008 - Posted by | Respon

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: