Kelantankini.com

Berita Kelantan, isu politik semasa

Ku Li makin ‘berahi’ dengan tekad jatuhkan ‘Anak Badawi’?

Oleh Tarmizi Mohd Jam

ku-li2.jpg11.20am | 22 Mac
WALAUPUN Perdana Menteri, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (anak Badawi) berkata tidak perlu Perhimpunan Agung Khas Umno, tetapi Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) mengulangi pandangannya bahawa perubahan dalam Umno perlu berlaku untuk memulihkan kembali imej Umno yang tercalar pada Pilihan Raya Umum 8 Mac lepas.

Ku Li mahu perhimpunan itu sebagai medan “pertempuran” baru menguji pengaruhnya dalam Umno. Anggota Parlimen Gua Musang itu menegaskan atas alasan tersebut, beliau bersedia untuk menggalas tanggungjawab besar, termasuk bertanding jawatan Presiden parti.

Ku Li dengan terang dan jelas menyatakan hasratnya mahu menurunkan anak Badawi dari terus menjadi Presiden Umno. Minat Ku Li kini meluap-luap kembali ekoran kegagalan anak Badawi mempertahankan kerajaan BN dari diceroboh pembangkang.

“Perlembagaan dalam parti membenarkan sesiapa pun bertanding. Ini demokrasi dan jika tidak, lebih baik kita tukar kepada presiden seumur hidup dan berkuasalah sampai bila-bila,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Gua Musang di sini, semalam.

Semalam Ku Li mencetuskan kontroversi baru dengan membuat kejutan dalam sidang akhbarnya di Kota Baharu mengatakan hasratnya bersedia bertanding sekali lagi bagi merebut jawatan Presiden Umno pada persidangan agung parti akan datang.

Sidang media itu boleh dianggap lobi atau kempen konsisten Ku Li selepas beliau menghantar surat meminta 193 Bahagian Umno seluruh negara mendesak Umno Malaysia mengadakan Perhimpunan Agung Khas parti itu bagi membincangkan tentang kekalahan teruk BN dan Umno pada pilihan raya lalu.

Ku Li yang pernah menentang Tun Mahathir suatu ketika dulu sebagai Presiden Umno menegaskan jika mendapat cukup pencalonan untuk bertanding, tiada sebab baginya untuk menolak “harapan” bahagian-bahagian yang mahukan perubahan pada peringkat pucuk pimpinan.

“Keputusan ini bergantung kepada sejauh mana anggota Umno mahukan perubahan dan jika tidak, tidak apalah (tidak bertanding),” katanya.

Untuk rekod, pada 1987, Tengku Razaleigh mencabar presiden Umno ketika itu, Tun Mahathir Mohamad tetapi tewas dengan 43 undi. Ekoran itu, Umno asal diharamkan dan Umno (Baru) dibentuk.

Kemudian, Ku Li meninggalkan Umno dan menubuhkan Parti Semangat 46 yang turut disokong oleh anak Badawi, Perdana Menteri sekarang.

Antara pemimpin Semangat 46 yang ditarik semula ke kabinet termasuklah oleh anak Badawi termasuklah Radzi Sheikh Ahmad yang baru meletakkan jawatan, Rais Yatim, Ahmad Shebery Chik, Shahril Samad (bebas yang pro Semangat 46 seperti anak Badawi) dan Zainal Abidin Zain yang tewas di Bagan Serai.

Mengulas kandungan surat Ku Li agar diadakan Perhimpunan Agung Khas Umno, Ketua Umno Gua Musang itu hanya berkata cadangannya itu perlu diambil kira oleh semua bahagian Umno di seluruh negara kerana ia penting untuk hala tuju perjuangan Umno selepas ini.

“Saya minta semua Ketua Umno bahagian mengambil kira pandangan saya dalam surat itu kerana perhimpunan khas ini perlu diadakan untuk kita duduk semeja dan membincangkan mengenai prestasi buruk Umno dan kerajaan,” katanya.

Perlembagaan parti telah menetapkan untuk diadakan perhimpunan khas itu, ia memerlukan persetujuan 50 peratus iaitu 105 bahagian daripada 210 bahagian Umno seluruh negara.

“Kalau dapat 50 peratus ini, ia boleh diadakan tetapi terpulanglah kalau kata tidak payah, tidak payahlah buat,” katanya.

Tindakan Ku Li kali ini penuh tekad dan serius. Beliau sudah mengutus surat sebanyak 26,000 pucuk surat telah diedarkan kepada semua Ketua Umno Bahagian, anggota jawatankuasa bahagian dan Ketua Umno Cawangan di seluruh negara bagi mendapatkan persetujuan untuk diadakan perhimpunan khas itu.

Sehubungan itu, Umno Bahagian Gua Musang akan mengadakan mesyuarat khasnya pada 4 April ini untuk meluluskan usul mengadakan perhimpunan agung khas itu.

Apapun yang boleh ditafsirkan, pergolakan dalaman Umno terkini hasil kekalahan teruk BN pada pilihan raya lalu, menimbulkan rasa berahi kerabat Diraja Kelantan ini untuk mencuba lagi menguasai Umno Malaysia dengan merebut jawatan Presiden Umno.

Jalan ini, sebenarnya merupakan jalan serasi Ku Li untuk menjadi Perdana Menteri, setelah beberapa kali perjuangannya ke situ digagalkan oleh pelbagai faktor.

March 22, 2008 - Posted by | Nasional

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: