Kelantankini.com

Berita Kelantan, isu politik semasa

Perhimpunan Khas Umno perlu – Dr M

Tun Dr Mahathir11.55am | 22 Mac
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata mesyuarat agung luar biasa perlu diadakan bagi membincangkan sebab-sebab mengapa Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno hilang majoriti dua pertiga dan mengalami kekalahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas.

Beliau mendakwa orang ramai termasuk anggota Umno mengundi parti pembangkang bukan kerana mahu menyokong parti lawan, tetapi disebabkan mereka tidak menyukai kepimpinan parti tersebut.

Sehubungan itu beliau menyokong cadangan anggota Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan mesyuarat agung luar biasa pada 11 Mei depan.

Beliau turut mengulas sindrom yang melanda dalam Umno dengan kenyataan pendek: “Mereka takut untuk menyuarakan pendapat,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku bertajuk “Management Astray: Resuscitating Ailing Organisations” yang ditulis Allayarham Tan Sri Basir Ismail, di sini, semalam.

Beliau berkata rasa takut untuk menyuarakan pendapat di kalangan anggota Umno tampak jelas kerana tiada seorang pun di kalangan mereka yang berani menyokongnya (Mahathir) semasa beliau menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk BN dalam pilihan raya umum.

“Namun saya berjumpa dengan banyak daripada mereka ini yang melahirkan rasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan (sekarang),” dakwa beliau.

Beliau mendakwa anggota Umno sekarang tidak berani menyuarakan pendapat mereka tentang kepimpinan parti kerana takut diambil tindakan sekiranya mengatakan sesuatu yang tidak disukai kerajaan.

Ditanya sama ada Umno kemungkinan berpecah jika Tengku Razaleigh mencabar presiden parti, Dr Mahathir berkata semasa beliau menjadi presiden Umno dan Perdana Menteri, Umno berpecah sebanyak dua kali tetapi bercantum semula.

Dr Mahathir juga mencadangkan Umno meminda perlembagaannya untuk memperuntukkan penubuhan majlis presiden untuk menasihatkan presiden kerana “kita tidak boleh mengamanahkan terlalu banyak kuasa pada satu orang”.

Beliau berkata anggota majlis itu tidak boleh dipilih oleh bahagian parti kerana mereka kemungkinan dimanipulasi, dan mereka sepatutnya terdiri daripada anggota parti yang tidak cenderung kepada mana-mana pihak serta orang luar daripada golongan profesional.

Katanya perkara itu perlu kerana akhir-akhir ini Majlis Tertinggi Umno didapati tidak efektif berikutan anggota menganggap tindakan mengkritik pucuk pimpinan sebagai sikap tidak hormat.

Mengenai 25 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan badan amal Melayu yang bersepakat menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) untuk menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik, beliau berkata ia baik tetapi perlu dilihat kepada tujuan ia ditubuhkan.

Mengenai tiada wakil Wanita Umno dalam Kabinet, beliau berkata mereka sepatutnya memprotes tetapi beliau mendengar “pemberontakan itu hanya sekerat jalan sahaja dan selepas itu kata, saya sokong”.

Ditanya mengenai ada cubaan membeli anggota Parlimen dari BN untuk menyertai pembangkang, beliau secara sinis berkata ia berlaku pada kedua-dua pihak dan `ia sangat demokratik’. – Bernama, Utusan,

March 22, 2008 - Posted by | Nasional

No comments yet.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: