Kelantankini.com

Berita Kelantan, isu politik semasa

Kedah wajibkan kakitangan awam bayar zakat melalui potongan gaji

4.55pm | 20 Mac
ALOR STAR: Umat Islam yang berkhidmat dengan kerajaan, badan berkanun dan anak-anak syarikat kerajaan negeri Kedah akan diwajibkan membayar zakat pendapatan melalui potongan gaji mulai tahun ini.

Arahan tersebut diperkenankan Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah melalui satu pekeliling arahan wajib pembayaran zakat pendapatan menerusi potongan gaji kepada Jabatan Zakat Kedah.

Bertitah pada majlis pelancaran sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Kolej Universiti Insaniah (KUIN) di sini hari ini, baginda mahu arahan wajib itu dilaksanakan bagi memastikan semua umat Islam di Kedah yang memenuhi syarat supaya menunaikan kewajipan mereka.

“Beta mahu pelaksanaan pekeliling ini menjadi teladan kepada kakitangan swasta negeri ini menunaikan zakat pendapatan masing-masing,” titah baginda.

Sultan Kedah berharap kutipan zakat dapat ditingkatkan dan seterusnya kaedah pengagihan kutipan dapat dibuat dengan sempurna untuk diagihkan kepada lapan asnaf yang layak menerimanya.

Baginda meminta ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan memastikan kakitangan masing-masing yang layak membayar zakat mematuhi arahan itu.

“Beta juga perkenan mulai 2007 Jabatan Zakat Negeri Kedah melaksanakan kutipan zakat fitrah secara menyeluruh. Oleh itu rakyat hendaklah membayar zakat fitrah kepada amil yang dilantik,” titah baginda.

Sultan Abdul Halim juga bertitah supaya rakyat Kedah menjadikan negeri ini contoh dalam keutuhan dan kekuatan beragama dan berusaha memartabatkan perkembangan agama Islam.

Pada majlis itu, Tuanku Abdul Halim berkenan menyampaikan anugerah Tokoh Pendakwah kepada Abdul Rahman Ahmad, 57, dari Sik manakala Hassan Yaakob, 73, dari Baling menerima anugerah Tokoh Imam peringkat Kedah.

March 20, 2008 - Posted by | Kerajaan BA

2 Comments »

  1. saya sangat-2 berminat … emelkan saya cara nak buat atau potong gaji terus kepada pejabat zakat negeri kedah..

    Comment by mohamad shahrizal | June 30, 2008

  2. Assalamualaikum wbkt,

    Saya agak was-was degan zakat pendapatan ini. Adakah ia benar-benar dituntut sebagai sebahagian dari rukun Islam yang 5. Adakah Rasullulah menerangkan dengan jelas mengenai “zakat pendapatan” ini? Saya agak takut kerana ini melibatkan Ibadah khusus yang sama seperti solat, puasa, dan haji yang tidak boleh ditokok tambah selain dari apa yang diajarkan Rasullulah.

    Antara perkara lain ialah mengenai pengiraan haul dan nisab, yang pada pandangan saya, pendapatan bulanan diterima secara bulanan dan belum tentu dapat disimpan hingga cukup haul (setahun), dan ini berlainan dari wang simpanan. Manakala, berapakah nisab yang tepat? perlu dikira secara bulanan atau tahunan? Adakah kadar inflasi dan customer price index perlu diambil kira di dalam penetapan nisab? Saya pendendapat ini penting kerana, jika penetapan nisab yang tidak tepat dikhuatiri mungkin menzalimi ummat Islam.

    Yang lebih penting lagi, apakah ini dikira sebagai kewajiban yang menentukan keIslaman seseorang kerana zakat merupkan rukun Islam yang 5. Adakah hadis dan nas-nas yang jelas yang memwajibkan zakat pendaptan(gaji) ini? Apakah hukuman kepada umat terdahulu yang juga makan gaji tetapi tidak mengeluarkan zakat kerana belum difatwakan? Terbatalkah keIslaman mereka?

    Wallahu’alam

    Comment by Azam | July 8, 2008


Leave a comment